Rh Jalin-Rh Jepun di Julau dapat manfaat pemeriksaan kesihatan percuma

Penduduk Rh Jalin mengambil peluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

Oleh Chris Bishop

JULAU, 30 Mac: Kembara pancuan empat roda “Community Outreach Programme” membawa pasukan perubatan ke Rh Jalin dan Rh Jepun di Rantau Panjai Sungai Masit di Julau.

Menerusi program, sekitar 40 keluarga dari kedua-dua buah rumah panjang mendapat manfaat pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma.


Tr Jalin Dundang menyifatkan ia satu usaha murni oleh pihak pasukan pancuan empat roda disebabkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan adalah perkara penting.

“Apa tidaknya, hospital terdekat ialah Hospital Sarikei dan mengambil masa 3 jam perjalanan menggunakan pick-up dari rumah panjang.

“Ia adalah satu masalah kepada kami di sini, dengan keadaan jalan yang tidak sempurna amatlah sukar untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan sekerap mungkin.

“Justeru, kedatangan pasukan perubatan ke sini digunakan dengan sebaiknya oleh penduduk,” kata Tr Jalin.

Dr Ng (kanan) melakukan pemeriksaan gigi terhadap salah seorang penduduk Rh Jalin.

Pasukan perubatan yang memberikan perkhidmatan adalah sukarelawan yang terdiri daripada para doktor dari Hospital Umum Kuching dan Hospital Simunjan (pergigian).

Pegawai Pergigian Dr Ng Sze Qin ketika ditemui memaklumkan bahawa seramai 17 orang penduduk Rh Jalin telah mendapatkan perkhidmatan mencabut gigi pada semalam.

Katanya, kebanyakannya adalah dari golongan tua dan ia adalah kesan kurangnya pengetahuan dalam penjagaan gigi.

Selain pemeriksaan kesihatan, pasukan turut mengagihkan sebanyak 65 bakul makanan kepada penduduk di Rh Jalin dan Rh Jepun.

Turut disampaikan ialah bantuan alatan persekolahan kepada anak-anak, perkhidmatan menggunting rambut dan bantuan kain sarong kepada penduduk.

Pasukan sukarelawan pancuan empat roda dengan 24 kenderaan ini disertai pasukan Glory, Highway dan Love All Serve All dari Kuching.

Manakala ubatan dibekalkan oleh Farmasi Ting. — DayakDaily

Bantuan bakul makanan diagihkan kepada penduduk.