TATAU, 15 Feb: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Alza dengan sebuah lori di kawasan Sungai Bawang, Jalan Sungai Aping, Tatau-Selangau pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa, 47, beralamat di Taman Tunku Miri.
Katanya, mangsa dilaporkan tersepit di dalam kemalangan tersebut dan beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sampai di lokasi kejadian, pasukan Bomba mendapati berlaku kemalangan yang melibatkan sebuah kereta dan lori.
“Anggota Bomba kemudiannya bertindak melakukan operasi berdasarkan konsep ‘saver’ menggunakan peralatan khas RTA, ‘power unit’ untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit,” ujarnya.
Setelah mangsa berjaya dikeluarkan, pihak Bomba menyerahkan mangsa kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengesahkan mangsa meninggal dunia.
Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Pasukan Bomba kemudiannya bertindak melakukan kerja-kerja pembersihan di lokasi kemalangan dan balik semula ke balai selepas keadaan didapati benar-benar selamat. — DayakDaily