Lelaki ditetak, diketuk gara-gara hutang RM500

Mangsa menunjukkan kecederaannya.

KUCHING, 15 Feb: Gara-gara hutang RM500, seorang lelaki cedera ditetak dan diketuk dalam satu insiden di Jalan Arang, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata mangsa semasa kejadian berada di rumah sewanya yang didiami bersama tiga lagi rakannya pada sekitar jam 8.30 malam.

Katanya, mangsa didatangi tiga suspek lelaki, yang mana seorang daripadanya dikenali oleh mangsa.


“Suspek yang bersenjatakan parang terus menuju ke arah mangsa lalu bertindak menetaknya sehingga terkena tangan kiri mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan seorang lagi suspek bertindak mengetuk kepala mangsa menggunakan tukul.

Ketiga-tiga suspek kemudian beredar dari lokasi kejadian dan mangsa dikejarkan ke hospital oleh rakannya untuk mendapatkan rawatan.

Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek bertindak sedemikian kerana mangsa masih belum membayar hutangnya berjumlah RM500.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3/4 Kanun Keseksaan. — DayakDaily