Lelaki maut, Alza rempuh tembok di Batu Lintang

Keadaan di lokasi kejadian.

KUCHING, 14 Sept: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia dalam kemalangan kendiri di Jalan Batu Lintang, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berlakunya kemalangan jalan raya sekitar jam 5.54 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian didapati benar berlakunya kemalangan kendiri Perodua Alza yang melanggar tembok.

“Seorang mangsa tidak terperangkap tetapi telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa dari dalam kereta.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seterusnya di hantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Setelah keadaan selamat, anggota bomba kemudian berangkat balik ke balai. — DayakDaily