Lelaki disyaki pengedar dadah di ditangkap di Moyan

Dadah yang dirampas daripada suspek.

KUCHING, 14 Sept: Seorang lelaki ditangkap kerana disyaki mengedar dadah pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek berusia 20 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.

Katanya, suspek ditahan di sebuah kafe di Jalan Moyan, di sini kira-kira jam 11 malam tadi.


“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek memiliki 75.10 gram syabu dan 32.35 gram ganja yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM9,127.

“Semasa tangkapan dibuat, berlaku sedikit pergelutan kerana suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya dadah jenis syabu itu dianggarkan bernilai RM7,510 manakala ganja dianggarkan bernilai RM1,617.

“Hasil soal siasat awal, suspek mengaku telah terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah sejak tiga bulan lalu.

“Suspek mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki tempatan yang dikenali di sekitar kawasan Kuching,” katanya.

Menurutnya, usaha diteruskan untuk mengenal pasti dan mengesan pengedar dadah terbabit.

Abang Zainal berkata suspek didapati negatif dadah serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily