Covid-19: 1,109 kes baharu, 1,148 kes sembuh hari ini di seluruh negara

1,109 kes baharu, 1,148 kes sembuh hari ini (27 Nov) di seluruh negara

Oleh Cornelius Kadir Edison

PUTRAJAYA, 27 Nov: Sebanyak 1,109 kes jangkitan positif Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatifnya mencecah 61,861 kes dengan kebolehjangkitan sebanyak 11,307 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, 10 kes merupakan kes import yang di kesan mendapat jangkitan dari luar negara.

“Sabah masih melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 441 kes (39.8 peratus), di mana 346 kes (78.5 peratus) daripada kes-kes dikesan di negeri itu adalah hasil daripda saringan kluster-kluster dan kontak rapat kes positif Covid-19 yang giat dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh negeri Selangor sebanyak 175 kes (15.8 peratus) dan Negeri Sembilan sebanyak 167 kes (15.1 peratus).

“Sebanyak 25 kes (2.3 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan klustur-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Tembok (9 kes), Kluster Penjara Sandakan (6 kes), Kluster Bakti (4 kes), Kluster Rumah Merah (4 kes), dan Kluster Penjara Reman (2 kes),” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat jam 12.00 tengahari tadi, seramai 1,148 kes sembuh daripada jangkitan Covid-19 dilaporkan sembuh menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 50,204 atau 81.2 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan.

Katanya dua kematian berkaitan Covid-19 juga dilaporkan hari ini dengan masing-masing satu kematian di Sabah dan Labuan.

“Bagi kes kematian yang ke 349 merupakan seorang lelaki bukan warganegara berusia 47 tahun dilaporkan meninggal dunia di hospital Sandakan manakala bagi kes kematian ke 350 juga seorang lelaki bukan warganegara dilaporkan meninggal dunia di Hospital Labuan.

“Kedua-dua kes kematian ini mempunyai sejarah penyakit jantung dan strok,” katanya. – DayakDaily