SIBU, 25 Ogos: Seorang lelaki dilaporkan hilang di Jambatan Batang Igan, di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan daripada pihak polis berhubung kejadian tersebut pada jam 11.08 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Maklumat awal polis menyatakan mangsa dilaporkan hilang, di mana lokasi terakhir mangsa berada adalah di atas Jambatan Batang Igan.
“Maklumat dari keluarga mangsa yang menemui kenderaan digunakan mangsa di jambatan tersebut turut memaklumkan barangan milik mangsa juga turut ditinggalkan di dalamnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, komander operasi melaporkan operasi pencarian dijalankan di permukaam air telah dilakukan.
“Operasi dilakukan menggunakan bot penyelamat dengan radius 5 kilometer ke hilir sungai.
“Manakala unit anjing pengesan (K9) Bomba melakukan pengesanan lokasi terakhir mangsa di lokasi dan mendapati titik terakhir keberadaan mangsa adalah di atas jambatan,” katanya.
Bagaimanapun mangsa masih gagal ditemui dan operasi SAR hari pertama ditangguhkan pada jam 5.45 petang dan akan disambung semula esok pagi.
Mangsa yang hilang berusia 25 tahun.
Turut sama dalam operasi ialah Polis dan Angkatan Pertahanam Awam Malaysia (APM). — DayakDaily