Lelaki durjana rogol sepupu dicekup

Suspek (tengah) ditahan oleh pasukan polis.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 3: Perbuatan durjana seorang lelaki menjadikan remaja perempuan ‘tempat melampiaskan nafsu’ akhirnya terbalas apabila dia ditahan di sebuah kedai gunting rambut di sini semalam.

Suspek berusia 30 tahun itu diberkas oleh sepasukan anggota polis selepas mangsa melakukan pemeriksaan di hospital di sini.


Menurut sumber, pihak hospital kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada polis selepas pemeriksaan mendapati mangsa telah dirogol.

Katanya, sebelum itu mangsa yang berusia 15 tahun telah mengadu kesakitan ke atas alat sulitnya.

“Mangsa yang didesak untuk mendedahkan hal sebenar kemudian memaklumkan dia telah menjalinkan hubungan intim dengan suspek sejak tahun lepas.

“Susulan laporan diterima, pasukan polis kemudian melakukan gerakan menahan suspek untuk membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ng Ah Lek mengesahkan menerima laporan berhubung penahanan suspek.

Katanya, suspek ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta sebatan,” ujarnya lagi. — DayakDaily