Lelaki ditemui maut di pencawang telekomunikasi

Royal Malaysia Police logo

ASAJAYA, 13 Dis: Seorang lelaki ditemui mati dipercayai terkena renjatan elektrik di sebuah kawasan pencawang telekomunikasi di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Brodie Brangka berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mangsa di lokasi kejadian sekitar jam 12.45 tengah hari.

Katanya, anggota dari Balai Polis Asajaya kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk membuat siasatan.


“Siasatan awal mendapati, terdapat seorang lelaki lengkap berpakaian berada dalam keadaan terbaring di tepi pagar tapak pencawang.

“Mangsa dipercayai cuba memotong wayar yang berada di kawasan pencawang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, kematian mangsa telah disahkan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Identiti mangsa juga telah disahkan dan hasil semakan mendapati dia mempunyai 5 rekod jenayah lampau iaitu kes pecah rumah, curi dan dadah.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara siasatan lanjut masih dijalankan. — DayakDaily