Lelaki ditangkap sembunyi dadah dalam bekas minyak angin di Bau

Bekas minyak angin yang digunakan suspek menyembunyikan dadah

BAU, 17 Mei: Seorang pekerja sebuah kilang perabot ditangkap kerana disyaki menyembunyikan dadah di dalam bekas minyak angin dalam satu operasi hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata suspek berusia 25 tahun dan berasal dari Kampung Singai Daun, di sini ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau di hadapan sebuah bank di Pasar Bau sekitar jam 9.45 pagi.

Beliau memberitahu suspek didapati berada dalam keadaan mencurigakan menyebabkan anggota operasi terus bertindak menahannya untuk pemeriksaan.


“Suspek semasa ditahan didapati menggenggam satu bekas tin kecil (minyak panas) yang cuba disembunyikan ke arah belakang badannya.

“Hasil pemeriksaan lanjut bekas tin berkenaan telah menjumpai satu paket plastik kecil lutsinar yang berisi bahan kristal jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Selain itu, suspek juga disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana turut didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek mengaku mengambil dadah sejak awal tahun 2021 dan siasatan awal juga mendapati dia mengambil dadah untuk berseronok serta pengaruh kawan,” kata Poge. — DayakDaily