Lelaki ditangkap kerana ugut bunuh ibu bapanya

Suspek semasa ditangkap di Jalan Mendu.

oleh Juetila Ozzy
KUCHING, 10 Dis: Seorang lelaki ditangkap selepas mengugut membunuh ibu bapanya semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata tangkapan ke atas suspek adalah susulan laporan polis yang dibuat oleh bapa suspek yang merupakan seorang pesara berusia 78 tahun.
Beliau memberitahu kejadian berlaku di rumah mereka di Jalan Matang sekitar jam 6.20 petang Ahad lalu.
“Semasa bapanya berada di rumah bersama isterinya iaitu ibu suspek, suspek telah mengamuk dan terus mencekik ibunya.
“Suspek juga membaling pinggan ke arah ibunya tetapi berjaya dielak dan selepas itu suspek bertindak menampar muka si bapa menggunakan pinggan sambil mengeluarkan kata-kata ‘lebih baik kamu dua mati saja, aku bunuh’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aidil menambah suspek juga meminta bapanya menghantarnya ke Siol Kandis untuk mengambil kereta.
Namun sebelum keluar, suspek bertindak menyembur “Ridsect” ke arah gas memasak di dapur rumah menyebabkan api marak.
“Ekoran itu, bapanya telah meminta supaya suspek memadam api dan memberitahu suspek dia akan menghantar suspek ke tempat yang dimaksudkan.
“Semasa dalam kereta di Jalan Matang Baru, suspek bertindak agresif semula serta memecahkan cermin mata dan menumbuk bahu sebelah kiri bapanya menyebabkan dia memberhentikan kereta di tengah jalan raya dan terus keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri,” kata Aidil.
Aidil berkata sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan telah berjaya menangkap suspek di Jalan Mendu, Kuching lebih kurang jam 3.45 petang hari ini serta merampas sebuah kereta yang digunakannya.
Bagaimanapun, katanya suspek, 38, yang sudah berkahwin dan menganggur itu tidak mengaku ada mencederakan dan mengugut membunuh ibu bapanya.
Aidil berkata pemeriksaan juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta merupakan orang yang dikehendaki.
“Suspek juga disyaki terlibat dalam kes samun di Kampung Samariang Batu, Kuching,” katanya. — DayakDaily