Lelaki ditangkap hisap dadah di Pisa, Bau

Lokasi serbuan di mana lelaki tersebut ditahan polis.

BAU, 18 Sept: Seorang penganggur ditangkap dipercayai masih dibawah pengaruh dadah di sebuah rumah di Kampung Pisa Krokong, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata suspek merupakan seorang lelaki berusia 33 tahun dan serbuan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Bau pada jam 10 pagi.

Katanya, polis menemui baki dadah jenis syabu iaitu kira-kira 0.44 gram di dalam bilik tidur suspek.

“Siasatan awal mendapati suspek telah bergiat aktif dalam aktiviti dadah seawal tahun ini dengan mendapat bekalan daripada rakan.

“Dadah yang dirampas adalah sebahagian yang belum digunakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suspek dan rampasan dadah kemudian dibawa ke IPD Bau untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya. — DayakDaily