Warga emas rugi RM48,340 akibat ditipu sindiket penipuan

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong

KOTA PADAWAN,18 Sept: Seorang lelaki warga emas mengalami kerugian sebanyak RM48,340 akibat terpedaya dengan satu sindiket penipuan pada 6 September lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata mangsa yang berusia 60 tahun dari Taman Matang Jaya telah menerima satu mesej daripada nombor asing yang memberitahu mangsa ada membuat bayaran di Shopee menggunakan kad kredit sebanyak RM2639.10.

Katanya, mangsa menafikan perkara tersebut kemudian menghubungi nombor 01126934159 dan bercakap dengan seseorang yang memperkenalkan diri sebagai Alisa dan mangsa telah meminta nombor telefon Bank Negara Malaysia daripadanya.


“Mangsa kemudian menghubungi nombor 1800-81-9904 dan dijawab oleh seorang lelaki yang dikenali dengan nama Chong Bong Yat menyatakan kad kredit tersebut didaftarkan di Mid Valley, Kuala Lumpur.

“Pegawai Bank Negara tersebut telah meminta semua nombor dan butiran kad kredit dan kad debit mangsa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mangsa hanya menurut saja arahan pemanggil dan telah memberi butir-butir yang diminta kerana percaya dengan kata-kata pegawai Bank Negara tersebut bahawa kesemua kad milik mangsa akan dibekukan supaya tidak ditipu oleh pihak lain.

Tambahnya, suspek kemudian meminta Kod Pengesahan Transaksi (TAC) yang diterima oleh mangsa.

“Setelah memberikan semua butiran tersebut, mangsa telah menerima mesej notifikasi menyatakan terdapat transaksi pindahan wang dari akaun mangsa.

“Anggaran kerugian yang dialami oleh mangsa adalah sebanyak RM48,340,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang merasa terpedaya dan tertipu telah membuat laporan polis pada 15 September.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan curangnya mendorong supaya harta diserahkan. – DayakDaily.