Lelaki ditangkap gara-gara hisap dadah diberi teman di Skibang, Bau

Suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.

BAU, 10 Feb: Seorang lelaki ditangkap polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di Kampung Skibang, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, suspek, 32 tahun, ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Bau kira-kira jam 4 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan polis telah menjumpai sepeket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 0.28 gram di atas meja bilik suspek.

“Hasil siasatan awal lelaki tersebut mengaku ada mengambil dadah dua tiga hari yang lepas dan juga mengaku mendapat dadah hasil pemberian temannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dihukum penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. — DayakDaily