Dua lelaki tempatan ditangkap cuba seludup warga asing di Bau


BAU, 10 Feb: Dua lelaki warga tempatan ditangkap selepas disyaki cuba menyeludup masuk empat pendatang asing tanpa izin (Pati) hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata satu sekatan jalan raya (SJR) Ops Benteng telah dilakukan di persimpangan Kampung Suba Buan dan telah menahan sebuah kereta jenis Hyundai Matrix sekitar jam 5.45 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kereta tersebut dipandu seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dan terdapat empat lagi penumpang iaitu seorang lelaki dan tiga wanita.


“Pemeriksaan lanjut mendapati keempat-empat penumpang ialah warga negara Indonesia berusia lingkungan 22 hingga 50 tahun, di mana kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen diri yang sah.

“Kesemua mereka kemudian ditahan dan suspek lelaki warga tempatan terbabit juga ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Dedah beliau juga, seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 66 tahun juga ditangkap untuk membantu siasatan.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom 2007).

“Manakala suspek warga asing disiasat dibawah Akta Imigresen 1963 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya. — DayakDaily