Lelaki ditangkap bergaduh dengan penghantar makanan

Suspek ditangkap untuk siasatan lanjut

Oleh Juetila Ozzy

KUCHING, 18 Dis: Seorang Lelaki ditangkap selepas didakwa mencederakan penghantar makanan dalam satu kemalangan di Jalan Desa Wira.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt. Aidil Bolhassan berkata suspek yang bekerja sebagai penjual mi dan berusia 34 tahun itu ditahan semasa tiba di Balai Polis Kota Sentosa sekitar jam 2.45 petang.

Beliau memberitahu suspek dikatakan bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati selepas keretanya dilanggar oleh penghantar makanan terbabit.

“Semasa kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan menghantar makanan ke MJC apabila berlanggar dengan kereta yang dipandu suspek sekitar jam 12 tengah hari.

“Suspek yang tidak berpuas hati kemudian dikatakan tiba-tiba menyerang mangsa sehingga mengalami kecederaan di mulut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu suspek juga dikatakan cuba memukul mangsa menggunakan pemotong besi tetapi sempat dihalang.

“Selepas beredar dari lokasi kejadian, mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak dan tampil membuat laporan polis berhubung kejadian,” katanya.

Semakan rekod mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk pengedaran dadah.

“Saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

“Permohonan reman akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Kuching,” katanya.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan. — DayakDaily