1,683 kes baharu, tiada kematian dilaporkan seluruh negara hari ini

Kes baharu Covid-19 pada 18 Dis 2020 (KKM)

Oleh: Cornelius Kadir Edison

PUTRAJAYA, 11 Dis: Sebanyak 1,683 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan kumulatif kes di seluruh negara kini melepasi angka 90,816 kes dengan kebolehjangkitan kes aktif sebanyak 15,140 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak lapan kes daripada keseluruhan kes positif yang dilaporkan pada hari ini dikesan mendapat jangkitan di luar negara.

“Negeri Selangor masih kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 692 kes (41.1 peratus), diikuti oleh negeri Sabah sebanyak 260 kes (15.4 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 1197 kes (11.7 peratus).

“Sebanyak 313 kes (18.6 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (235 kes), Kluster Tembok (55 kes), Kluster Tembok Gajah (12 kes), Kluster Bakti (8 kes), Kluster Penjara Kepayan (2 kes) dan Kluster Penjara Seberang Perai (1 kes),” katanya dalam kenyataan harian Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata tiada kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan kumulatif kes kematian akibat wabak tersebut kekal 432 kes.

“Sehingga jam 12.00 tengah hari ini, terdapat 1,214 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes sudah pulih sepenuhnya di negara ini sebanyak 75,244 kes atau bersamaan 82.9 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Sehingga kini juga, seramai 106 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 51 kes daripadanya masih memerlukan bantuan alat penafasan,” katanya.

Tambah Dr. Noor Hisham, Kementerian kesihatan turut mengesan enam kluster baharu dikenal pasti menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang telah dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 435 kluster.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 238 kluster telah ditamatkan manakala 197 kluster lagi masih aktif.

“Sebanyak 60 kluster daripada jumlah kluster yang masih aktif itu melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Penjara Jalan Harapan (235 kes), Kluster Tapak Bina Muda (74 kes), dan Kluster Tembok (55 kes),” tambah Dr. Noor Hisham. — DayakDaily