Lelaki ditahan terlibat kes ragut di Desa Wira

PDRM logo

KUCHING, 22 April: Seorang lelaki dalam lingkungan usia 20-an ditahan setelah cuba melakukan samun ragut di Taman Desa Wira, Batu Kawa di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata, saspek ditahan oleh orang awam yang bertindak membantu mangsa, manakala seorang lagi rakan saspek berjaya melarikan diri.

“Pada jam 7.54 pagi mangsa yang merupakan seorang wanita tempatan berusia dalam lingkungan 50-an semasa sedang berjalan kaki telah didatangi sebuah motosikal dari arah belakang yang dinaiki oleh 2 orang saspek yang bertindak meragut beg sandang milik mangsa.


“Mangsa berusaha mempertahankan begnya dan pada masa yang sama sebuah kenderaan yang dipandu oleh orang awam telah memberhentikan kenderaan di hadapan motosikal saspek tersebut dan telah berjaya menahan saspek bersama motosikal,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah DSP Lim, saspek yang ditahan akan direman di mahkamah Kuching untuk membantu siasatan.

Manakala mangsa mengalami sedikit calar dan luka semasa pergelutan. — DayakDaily

Saspek kes ragut Desa Wira berjaya ditahan.