Lelaki ditahan selepas mengugut, cederai teman wanita

Suspek (dua dari kiri) dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

MIRI, 17 April: Perbuatan seorang lelaki mengugut dan mencederakan teman wanitanya membawa padah, apabila dia ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian pada Jumaat itu, sekitar jam 8 malam, suspek berusia 31 tahun dipercayai telah mencederakan mangsa selepas ditegur agar berubah dan tidak lagi meminjam wang dari kawan-kawannya.

Suspek yang tidak bekerja itu tiba-tiba marah dan mengugut mangsa selepas ditegur agar mencari pekerjaan oleh teman wanitanya yang berusia 21 tahun.

Kejadian berlaku di sebuah rumah sewa di Taman Hiltop.

Satu laporan polis telah dibuat mangsa susulan kejadian.

Tangkapan dilakukan pada awal pagi tadi (17 April), di tepi Jalan Miri-Pujut.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Hakemal Hawari, suspek ditahan sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan. — DayakDaily