Lelaki ditahan selepas menghentam adik sendiri dengan sarung parang

Suspek (tengah) ditahan polis untuk tindakan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 25 Mei: Lelaki mengamok hentam adik sendiri dengan sarung parang, ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut pada Isnin.

Suspek ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri sekitar jam 10.30 malam di kediamannya di sebuah unit Quadruplex Bandar Baru Permyjaya.


Difahamkan, sebelum itu, suspek berusia 26 tahun itu dikatakan tiba-tiba mengamuk di tepi Jalan Dato Permaisuri 2A.

Punca suspek bertindak sedemikian kerana mencari isterinya.

Adik perempuan suspek yang berusia 22 tahun telah cuba menasihatinya agar tidak bertindak agresif, namun telah dipukul menggunakan sarung parang.

Kejadian dikatakan telah berlaku sekitar jam 6.30 petang Isnin.

Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian pipi kiri dan jari kanan.

Susulan kejadian , satu laporan telah dibuat mangsa di balai polis.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, suspek ditahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya. — DayakDaily