Oleh Brad Rantayy
MIRI, 17 Jan: Padah tidak memulangkan dompet berisi wang tunai sebanyak RM1,270 yang ditemui berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Tunku malam Jumaat, seorang lelaki warga tempatan ditahan polis untuk siasatan lanjut.
Penahanan suspek dilakukan selepas pemilik dompet berkenaan tampil membuat laporan susulan dompet miliknya telah tercicir di stesen minyak tersebut pada awal petang itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, suspek berusia 31 tahun itu ditahan sekitar jam 11.10 malam oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) selepas menerima laporan pengadu.
“Sepatutnya suspek membawa dompet tersebut segera ke balai polis terdekat untuk tindakan lanjut sebaik sahaja menemui dompet yang tercicir berkenaan,” ujar Hakemal.
Difahamkan sebelum kejadian, pemilik dompet berusia 35 tahun tersebut, yang juga lelaki warga tempatan bekerja sebagai tukang paip, telah ke stesen minyak di Taman Tunku untuk mengeluarkan wang sebanyak RM1,270, namun dompetnya tercicir tanpa disedari.
Pengadu seterusnya ke sebuah gerai makan berdekatan untuk makan malam.
“Beliau hanya menyedari dompetnya telah hilang semasa hendak membayar makanannya, dan segera balik semula ke stesen minyak itu dengan harapan dompetnya mungkin masih ada di sana,” jelas Hakemal.
Namun, harapannya punah sebaik tiba kembali ke stesen minyak tersebut kerana dompetnya gagal dikesan atau ditemui.
“Dengan bantuan pihak pengurusan stesen minyak tersebut, pengadu telah memeriksa CCTV premis dan kelihatan seorang lelaki (iaitu suspek) telah keluar dari sebuah kereta jenis Proton Saga mengambil sesuatu yang jelas kelihatan dompet pengadu yang tercicir,” jelas Hakemal.
Beliau menjelaskan, suspek sepatutnya membawa dompet yang tercicir tersebut ke balai polis segera untuk tindakan lanjut dan bukannya membawa balik tanpa membuat laporan.
Hakemal turut menasihatkan orang ramai untuk memulangkan mana-mana barangan yang bukan milik mereka yang ditemui tercicir bagi mengelakan sebarang tindakan undang-undang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaam kerana mencuri. — DayakDaily