Lelaki disyaki pengedar dadah ditangkap di Siburan, ‘Put’ diburu

Suspek disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah ditangkap.

KUCHING, 16 Nov: Seorang lelaki ditangkap dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Siburan, Jalan Kuching-Serian kerana disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata suspek, 40, yang juga berasal dari Kampung Siburan ditangkap ekoran penemuan kira-kira 52.15 gram disyaki dadah jenis syabu.

Menurutnya, suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Padawan.


“Operasi dilakukan sekitar jam 11.15 pagi dan berjaya menangkap suspek serta merampas beberapa paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal (dadah) dianggarkan seberat 52.15 gram.

“Siasatan awal juga mendapati suspek mengaku memperolehi bekalan (dadah) tersebut dari seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Put’ yang akan membuangnya di kawasan yang sudah dijanjikan dan seterusnya dikutip olehnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kali terakhir suspek memperolehi bekalan tersebut adalah pada jam 11.30 malam tadi.

Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Semakan juga mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Selain itu, BSJN IPD Padawan juga kini berusaha untuk mengesan individu dikenali sebagai ‘Put’ untuk membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat juga boleh menyalurkan kepada kita,” ujarnya. ā€” DayakDaily