Lelaki disyaki melarikan peti besi 50kg ditahan polis kurang 3 jam selepas insiden dilaporkan

Suspek (barisan hadapan, tiga dari kanan) ditahan JSJ Miri di perkarangan Lapangan Terbang Miri semalam disyaki cuba melarikan diri. Suspek kemudiannya telah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 15 Dis: Misteri kehilangan sebuah peti besi seberat 50kg yang mengandungi wang tunai sebanyak RM270,000 dari sebuah unit apartment mewah di Jalan Tanjong Lobang, baru-baru ini terungkai dengan penahanan seorang pemuda petang semalam.

Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri di perkarangan Lapangan Terbang Miri sekitar jam 4pm.


Difahamkan, suspek cuba melarikan diri, namun tindakan pantas JSJ Miri berjaya menahannya kurang tiga jam selepas laporan polis mengenai kehilangan tersebut diterima daripada mangsa.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, polis turut menemukan sejumlah baki wang yang dipercayai dilarikan bersama peti besi tersebut.

Hasil siasatan awal mendapati, peti besi tersebut dimiliki mangsa yang menjalankan perniagaan jualan langsung.

Dalam kejadian, mangsa dipercayai telah menyelinap masuk ke dalam unit apartment tersebut sebaik sahaja mangsa bersama rakan-rakannya keluar makan pada malam Ahad.

Hakemal menambah, suspek berhasil dikesan selepas imejnya melarikan peti besi tersebut berjaya dirakam kamere litar tertutup bangunan apartment berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. — DayakDaily