Lelaki dilapor hilang ketika memancing di sungai

Fire and Rescue Department Malaysia/ Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia logo

BAU, 6 Feb: Seorang lelaki dilaporkan hilang sejak petang Rabu lalu (3 Feb) selepas keluar memancing di sungai bersama dengan rakannya dekat Kampung Bijuray di sini.

Bagaimanapun laporan berkenaan kehilangan mangsa hanya dibuat oleh abangnya pada hari ini.

Jurucakap Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa diaktifkan hari ini selepas menerima laporan berkenanan insiden terbabit kira-kira jam 8.58 pagi tadi.


Katanya, menurut maklumat awal, mangsa dikatakan keluar memancing di sungai berhampiran bersama rakannya pada petang Rabu lalu.

Namun begitu mangsa dikatakan tidak pulang ke rumahnya walaupun rakannya telah pulang pada hari yang sama.

“Ketika perjalanan balik..mangsa dan kawan mangsa melalui hutan untuk keluar dari tempat memancing dan kawan mangsa tidak menyedari kehilangan mangsa.

” Ini kerana mangsa berjalan di belakang dan rakannya itu beranggapan bahawa mangsa telah terus balik ke rumahnya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jurucakap itu berkata, Operasi SAR pada hari ini ditumpukan di kawasan hutan tempat mangsa dilaporkan hilang dengan radius pencarian antara satu hingga dua kilometer persegi.

“Selain Pasukan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Operasi SAR itu juga turut disertai oleh 11 penduduk Kampung Bijuray, Pihak Polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya. – DayakDaily