Polis rampas rokok disyaki tidak bercukai di Kuching

Rokok-rokok yang dirampas dalam serbuan tersebut.

Oleh Juetila Ozzy

KUCHING,6 Feb: Sebanyak 37,960 batang rokok pelbagai jenama disyaki tiada cukai kastam dirampas dalam satu serbuan ke atas sebuah kedai runcit di Taman Sri Sarawak, Jalan Bukit Mata, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata serbuan dilakukan oleh anggota Balai Polis Sentral diketuai ASP Ahmad Abang iaitu sekitar jam 9.40 malam.


“Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM7,592 di dalam kedai tersebut.

“Penjaga premis semasa siasatan dijalankan juga gagal mengemukan dokumen berkaitan barangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, rokok-rokok tersebut kemudian dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Turut ditahan adalah penjaga kedai berkenaan iaitu seorang lelaki warga Indonesia berumur 32 tahun,” katanya. – DayakDaily