Lelaki cedera di bahu selepas kenderaan langgar pembahagi jalan

Pasukan Bomba membantu mengalihkan kenderaan yang dinaiki mangsa.

KUCHING, 21 Mac: Seorang lelaki cedera di bahaguan bahu selepas kenderaan yang dinaikinya bersama seorang lagi terlibat dalam kemalangan berhampiran Bangunan SEDC di Jalan Sultan Tengah di sini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat malaysia (JBPM) Sarawak berkata, dalam kejadian sekitar jam 9.40 malam itu, kenderaan yang dinaiki mangsa bersama seorang lagi melangar pembahagi jalan dan tiang lampu di lokasi berkenaan.

“Kedua-dua mangsa tidak tersepit dalam kejadian terbabit dan berjaya keluar sendiri dari kenderaan berkenaan.


“Salah seorang mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan pada bahagian bahunya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa yang cedera telah berikan rawatan awal oleh unit EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya.

“Pasukan Bomba hanya membantu mengeluarkan mangsa dan menghantar seorang mangsa menaiki EMRS ke Hospital,” katanya. — DayakDaily