Individu dilaporkan hilang selepas bot karam ditemui selamat di Pantai Lutong

Operasi mencari dan menyelamat seorang individu yang dikhuatiri hilang di Pantai Kuala Baram Miri.

MIRI, 21 Mac: Seorang individu yang dilaporkan hilang di Pantai Kuala Baram semalam ditemui selamat awal pagi ini.

Menurut jurucakap Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak, maklumat mengenai kehilangan individu tersebut diterima sekitar jam 11.15 malam semalam memaklumkan mangsa berkemungkinan dihanyutkan arus selepas bot yang digunakan karam.

“Operasi mencari dan meyelamat mangsa turut mendapat bantuan daripada penduduk kampung dengan mengenalpasti lokasi terakhir bot mangsa.

“Pencarian di tepi pantai juga dilakukan sehingga ke Batu 1, Miri dari lokasi bot yang digunakan dipercayai karam,” katanya.

Jelasnya pada jam 3.40 pagi pihaknya menerima makluman daripada Balai Polis Lutong memberitahu mangsa terbabit ditemui selamat di Pantai Lutong sekitar jam 3.00 pagi.


“Mangsa kemudiannya dibawa ke Balai Polis Lutong untuk membuat laporan berkaitan dan operasi mencari dan menyelamat tersebut ditamatkan pada jam 3.48 pagi tadi,” katanya. — DayakDaily