Dua rumah musnah dijilat api di Kg Hilir Supa, Spaoh

Keadaan rumah yang terbakar di Kampung Hilir Supa, Spaoh.

SPAOH, 21 Mac: Dua buah rumah di Kampung Hilir Supa disini dipercayai musnah dalam satu kebakaran yang berlaku sekitar jam 10.21 malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima empat panggilan kecemasan melalui MERS 999 melaporkan kejadian berkenaan.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong telah bergerak ke lokasi kejadian bersama ketua balainya menggunakan kenderaan pacuan empat roda,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Jelasnya, perjalanan ke lokasi terbabit dari dari BBP Betong mengambil masa sekitar satu jam untuk sampai di tempat kejadian.

Beliau berkata, maklumat awam yang diterima oleh pihaknya memaklumkan kejadian terbabit melibatkan dua buah rumah penduduk di kampung berkenaan.

“Kita juga dimaklumkan salah sebuah rumah yang terbakar tersebut telah musnah sepenuhnya.

“Setakat ini kita tidak menerima laporan kejadian terbabit ada melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa dan anggota dari BBP Betong dengan kekuatan 10 anggota serta satu FRT sedang dalam perjalanan ke lokasi kejadian,” katanya. — DayakDaily