Oleh Brad Rantayy
MIRI, 30 Jan: Seorang lelaki yang berang ditegur kerana cuba mengambil buah yang ditanam dari sebuah rumah di Lorong 1B, Taman Permai, ditahan setelah bertindak menendang dan mencengkik leher pemilik rumah tersebut.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari mengesahkan kejadian tersebut yang berlaku sekitar jam 7.30 malam tadi.
Susulan kejadian, mangsa berusia 57 tahun yang mengalami kecederaan pada badan dan leher telah membuat laporan polis.
Penahanan suspek, seorang lelaki warga tempatan berusia sekitar 20an dibuat empat jam selepas kejadian oleh sepasukan anggota unit rondaan Jawatankuasa Penduduk (JKP) Miri di tepi jalan Dato Permaisuri Permyjaya.
Suspek telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily