Lelaki bawa lari ambulans direman empat hari

Suspek direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Kuching.

KUCHING, Feb 21: Seorang lelaki yang disyaki melarikan melarikan sebuah ambulans dari Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini semalam ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.

Majistret Sandy Yvette Freddy telah membenarkan permohonan reman tersebut bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Tertuduh direman mulai Feb 21 hingga 24 ini.


Sebelum itu, tertuduh yang diiringi anggota polis tiba di Kompleks Mahkamah Kuching kira-kira pukul 10 pagi untuk prosiding reman.

DayakDaily semalam melaporkan seorang pesakit berusia 36 tahun telah ditahan selepas melarikan sebuah ambulans milik Pusat Perubatan Pakar KPJ yang diletakkan di HUS di sini.

Sebelum itu para petugas KPJ dikatakan membawa masuk seorang pesakit ke HUS dan meninggalkan ambulans berkenaan dalam keadaan enjin masih hidup.

Melihat keadaan ambulans itu tanpa sebarang pengawasan, suspek kemudian melarikan ambulans tersebut.

Selepas menyedari ambulans itu dilarikan, petugas di situ kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut. — DayakDaily