Dua pemain bola sepak Sarawak dan seorang lelaki dibebaskan daripada perintah reman

Pegawai SPRM mengiringi suspek di Kompleks Mahkamah Kuching hari ini.

KUCHING, Feb 21: Mahkamah Majistret di sini hari ini membebaskan dua pemain bola sepak Sarawak dan seorang lelaki dipercayai ‘bookie’ daripada perintah reman serta tanpa pertuduhan selepas direman enam hari bagi membantu siasatan setelah disyaki terlibat dalam kegiatan mengatur perlawanan Liga Perdana pada Feb 10 lalu.

Majistret Sandy Yvette Freddy membenarkan ketiga-tiga suspek dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebelum itu, Pegawai Penyiasat SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi memberitahu mahkamah bahawa belum terdapat bukti mencukupi bagi mendakwa ketiga-tiga suspek terbabit.


Sementara itu, ketiga-tiga suspek telah diwakili peguam, Ahmad Dzulfadli Abang Hamdan, Saifunnizam Sam dan Irawan Sudarsono.

Sebelum ini, pada Feb 15 lalu, SPRM telah mendapatkan perintah tahanan reman ke atas ketiga-tiga suspek bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

Pada Feb 14 lalu, ketiga-tiga suspek telah ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan mengatur perlawanan Liga Perdana 2018 di antara Sarawak dan Felcra FC di Stadium Negeri, Feb 10 lalu. ā€” DayakDaily