Lelaki bakar pusat kecantikan, ugut rogol tiga wanita ditahan

Kelihatan seorang wanita yang cedera semasa kejadian di pusat kecantikan di Miri.

MIRI, Mac 7: Seorang lelaki yang bertindak membakar dan mengugut untuk merogol tiga wanita di sebuah pusat kecantikan di sini ditahan polis semalam.

Menurut sumber, dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, suspek berusia 47 tahun dikatakan datang ke pusat rawatan tersebut yang beroperasi di tingkat satu sebuah bangunan kedai di situ.

Kata sumber, suspek yang dipercayai di bawah pengaruh dadah didapati membawa sebilah kapak untuk membuka pintu sebuah bilik di pusat kecantikan tersebut.


Keadaan bilik di pusat kecantikan yang terbakar.

“Semasa kejadian, terdapat tiga orang wanita berada di dalam bilik itu iaitu pengurus pusat kecantikan serta dua rakannya.

“Suspek kemudian meminta RM10 daripada mereka malah mengancam merogol mereka dan mengugut untuk membunuh jika mangsa enggan mengikut arahannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah sumber, pengurus pusat kecantikan tersebut kemudian melarikan diri untuk meminta bantuan orang awam.

“Berang dengan tindakan wanita berusia 26 tahun itu, suspek kemudian mula membakar bilik berkenaan.

“Dalam kejadian itu, seorang pekerja wanita turut cedera, suspek pula dipukul oleh orang awam sebelum ditahan polis,” katanya lagi. ā€” DayakDaily