LUNDU, 6 Okt: Seorang lelaki autisme dilaporkan hilang di kawasan hutan Gunung Bajo, di sini sejak semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa yang berusia 21 tahun itu pada jam 10 malam tadi.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dilancarkan hari ini bermula jam 8.10 pagi.
“Anggota Bomba memulakan operasi SAR deangan membahagi pasukan pencaria kepada tiga kumpulan dan radius pencarian 1 kilometer dari lokasi terakhir mangsa.
“Operasi pencarian turut dibantu pihak polks dan orang kampung,” katanya.
Mangsa yang dikenali sebagai Illias Illyasa Bujang masih belum dijumpai setakat berita ini ditulis pagi tadi.
Operasi SAR mangsa masih giat dijalankan. — DayakDaily