Pemimpin, ahli PBB dan GPS perlu aktif dalam media sosial

Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING, 25 Okt: Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof menyeru semua ahli parti itu untuk lebih aktif di media sosial sebagai satu tindakan menyahut seruan ‘sedia berperang’ dengan berita atau maklumat tidak tepat di medium tersebut.

Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata, media sosial kini dijadikan oleh semua pihak sebagai medium atau platform utama dalam penyebaran maklumat dan propaganda sehingga mampu mempengaruhi pemikiran orang ramai.

Peranan media sosial semakin penting ketika negara berdepan penularan Covid-19 ketika perhimpunan dan perjumpaan ramai tidak lagi digalakkan dan jumlah kehadiran juga dihadkan, dengan penguatkuasaan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak berkenaan, katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Khas PBB Zon Selatan Di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini hari ini.

Katanya, semua pemimpin dan ahli dalam PBB  serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu cepat menangkis setiap serangan dan tohmahan dalam media sosial terhadap parti tersebut sekali gus tidak membiarkan ia terus menular.

“Kita semua harus ingat, perang persepsi di media sosial lah yang telah menyebabkan kekalahan mengejut Barisan Nasional (BN) dalam  Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Ujar Fadillah, wakil rakyat atau pemimpin GPS seharus tidak hanya bergantung kepada pentadbir laman mereka untuk menepis serangan oleh pihak lawan.

Sebaliknya mereka (pemimpin GPS) harus menguasai sendiri media sosial tersebut agar segala maklumat yang ingin disampaikan kepada rakyat dapat dilakukan dengan berkesan dan tepat.

“Saya juga ingin mengajak semua wakil rakyat dan pemimpin GPS di semua peringkat supaya secara peribadi lebih aktif di media sosial untuk menjawab apa sahaja isu dibangkitkan serta menyampaikan mesej betul kepada rakyat,” katanya. –DayakDaily