Lee: Undi dengan bijak supaya tidak menyesal selama lima tahun akan datang

Tan Sri Lee Lam Thye

KUCHING, Mei 7: Rakyat Malaysia yang akan membuang undi pada Rabu depan dinasihatkan supaya berfikir dengan serius dan bijak mengenai siapa yang akan diundi mereka pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) ini supaya tidak menyesal selama lima tahun akan datang.

Bekas Ahli Parlimen yang sudah kerap terbabit dalam pilihanraya umum sebelum ini, Tan Sri Lee Lam Thye memberikan nasihat terbabit kerana keputusan PRU14 bukan sahaja akan memberikan kesan kepada rakyat negara ini bagi lima tahun akan datang malahan juga menentukan nasib negara dan juga generasi masa depan serta tiada gunanya bagi sesiapa sahaja merunggut mengenai keputusan pilihanraya itu.

“Kini, kebanyakan rakyat Malaysia sudahpun membuat keputusan tentang bagaimana mengundi dan siapa yang akan diundi. Bagaimanapun, sebelum membuang undi, mereka mesti memberikan pemikiran yang serius dan membuat keputusan yang bijak dan kritikal bagi negara ini dan masa depannya, “katanya dalam kenyataan medianya semalam.


Lee sehubungan itu meminta rakyat negara ini memilih mengundi seorang yang bersungguh, ikhlas, jujur, berdikasi dan komited berkhidmat kepada pengundinya dan sebagai pengundi mereka juga mesti melihat prestasi semua calon yang berminat menjadi wakil rakyat termasuk calon yang akan mempertahankan kerusi yang disandang.

“Seorang wakil rakyat, mesti mampu menjalankan dua peranan iaitu sebagai pengubal undang-undang dan juga berkhidmat kepada orang awam. Mereka juga mesti mampu menyampaikan isu negara ini di Parlimen dan bersedia berkhidmat kepada pengundi,” katanya.

Disamping itu, Ahli Parlimen yang diundi juga mestilah seseorang yang memberikan kesungguhan mewakili kawasan yang diwakili dan sentiasa menunjukkan kehadiran mereka apabila diperlukan rakyat dan berkhidmat sepenuh masa kepada pengundi terutamanya bagi calon muka baru pada pilihanraya ini.

“Saya berharap pengundi juga akan memilih calon yang berintegriti kerana itu akan membantu mencegah rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Kita tidak boleh bertolak ansur dengan rasuah dan membiarkannya merebak dalam masyarakat kita,” katanya.

Lee berkata berikutan kempen yang sengit sepenjang PRU14 ini adalah diharapkannya tidak menyebabkan timbulnya ketegangan dan mewujudkan rasa kebencian berpanjangan serta kesan buruk lain kepada rakyat negara ini kerana perjalanan masih panjang bagi Malaysia tanpa mengira parti politik mana yang membentuk kerajaan selepas ini dan rakyat Malaysia mesti kekal bersatu. — DayakDaily