Penduduk luar bandar penyokong setia BN, kata Penguang

Penguang (tiga dari kanan) menyerahkan cek MRP kepada wakil rumah panjang.

BARAM, Mei 7: Semua pihak perlu sedar dan menerima hakikat penyokong setia Barisan Nasional (BN) selama ini terdiri daripada penduduk dari kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datu Dr Penguang Manggil berkata, disebabkan sokongan padu dan kuat daripada masyarakat luar bandar, pemerintahan BN terus kekal di negeri ini.

Menurutnya, kawasan luar bandar juga terus menjadi kubu kuat BN sehingga hari ini dan penduduk luar bandar diyakini akan terus menyokong BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).


“Jangan lupa dan jangan alpa, kawasan luar bandar merupakan kubu kuat BN. Sehubungan itu, adalah diharapkan masyarakat luar bandar akan sekali lagi memberikan sokongan kepada BN dalam PRU14.

“Bagi Parlimen Baram, saya berharap masyarakat akar umbi di sini memberi sekali kepercayaan kepada calon BN, Anyi Ngau supaya kesejahteraan penduduk di kawasan itu sentiasa terpelihara,” katanya dalam Program Pemimpin Bersama Rakyat di sini semalam.

Dalam pada itu, Penguang mengingatkan agar penduduk di Parlimen Baram supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai janji manis pembangkang yang kini banyak ditabur dalam usaha mereka memenangi undi masyarakat luar bandar.

Tegas beliau, hakikatnya banyak janji yang dibuat pembangkang di negeri dikuasai mereka pada pilihan raya umum lalu sehingga kini masih belum mampu ditunaikan.

“Sedangkan pendekatan kita ternyata berbeza dengan pembangkang yang gemar menaburkan janji manis tanpa memikirkan kesannya.

“Bagi BN kita hanya menjanjikan apa yang mampu ditunai, justeru, rakyat perlu yakin dengan mekanisme kerajaan BN yang merupakan pendekatan terbaik dalam menyelesaikan kebajikan penduduk di luar bandar dan pedalaman di Sarawak,” katanya.

Dalam majlis sama, beliau turut menyerahkan sumbangan MRP kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Michael Salengkor sebanyak RM20,000, SIDS Rumah Michael Salengkor (RM5,000), SIDS Rumah Lansam Sungai Dabai (RM5,000), PIBG SRK Sungai Brit (RM5,000), Tadika Kemas Sungai Brit (RM5,000) dan PIBG SK Lubok Nibong (RM5,000). — DayakDaily