Lee: Penduduk Permyjaya amat memerlukan klinik kesihatan

Lee (depan) menyerahkan ubat kepada pesakit harian yang datang mengambil ubat di farmasi pandu lalu KK Tudan.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 22 Mac: Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin sekali lagi menyuarakan perlunya penambahan sebuah lagi klinik kesihatan (KK) di kawasan berkepadatan penduduk seperti di Permyjaya.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senadin berkata, sebuah klinik kesihatan di kawasan terbabit amat diperlukan bagi memenuhi keperluan penduduk yang padat di bahagian selatan bandar raya Miri yang merangkumi Tudan, Desa Senadin, Permyjaya dan Kuala Baram.

“Kita cuma ada satu klinik kesihatan di kawasan ini iaitu KK Tudan, namun, populasi penduduk yang padat menyebabkan ia mengalami situasi kesesakan, dan situasi ini kita cuba atasi dengan mencadangkan pembinaan sebuah lagi KK di kawasan Permyjaya,” katanya hari ini selepas merasmikan pembukaan farmasi pandu lalu di KK Tudan.

Beliau menambah, populasi penduduk di Permyjaya adalah sangat padat iaitu mencecah 200,000 orang.

“Bayangkan untuk satu hari sahaja, KK Tudan menerima lebih 700 orang pesakit harian, dan ini amat kritikal apatah lagi kita berdepan dengan pandemik Covid-19,” jelasnya.

Untuk rekod, KK Tudan telah muka beroperasi sejak tahun 2005.

Turut hadir bersama Lee pada perasmian farmasi pandu lalu di KK Tudan ialah Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Datuk Bandar Miri Adam Yii.

Dalam pada itu, Lee yakin dengan siapnya farmasi pandu lalu di KK Tudan yang buka beroperasi secara rasmi hari ini, ia dapat mengurangkan kesesaksan di klinik tersebut.

“Perkhidmatan farmasi pandu lalu ini memudahkan pesakit harian mengambil ubat di klinik tanpa perlu masuk ke dalam klini Tudan untuk urusan tersebut,” katanya.

Pembinaan farmasi pandu lalu KK Tudan ini merupakan kolaborasi bersama Kelab Rotary Miri Oil Town dengan Sarawak United Peoples’ Party (SUPP) cawangan Senadin dengan kos sebanyak RM80,000.

Lee turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan wabak Covid-19 di dalam komuniti. — DayakDaily