Lee: Ikut SOP agar tiada kluster ‘Qing Ming’

Lee (empat dari kiri) bersama ahli jawatankuasa tanah perkuburan Riam Road Ghee San semasa lawatannya pada hari ini (20 Mac, 2021).

MIRI, 20 Mac: Upacara ‘Qing Ming’ di kawasan perkuburan dan di kolumbarium semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah dibenarkan namun kehadiran ahli keluarga tidak boleh melebihi lapan orang.

Perkara ini dijelaskan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin hari ini selepas membuat pertemuan dengan ahli jawatankuasa Tanah Perkuburan Riam Road Ghee San di Riam mengenai garis panduan (SOP) yang perlu dipatuhi ahli keluarga semasa upacara ‘Qing Ming’ itu nanti.

Lee, yang juga menteri bertangungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, memberitahu beberapa anggota Rela akan ditempatkan di empat pintu masuk kawasan Tanah Perkuburuan Riam Road Ghee San bagi membantu melancarkan pergerakan keluar/masuk pelawat yang datang untuk upacara itu nanti.


“Kita juga akan meletakan beberapa banting di kawasan ini bagi memberitahu pelawat tentang SOP yang mereka perlu patuhi semasa upacara itu nanti bagi mengengkang kluster ‘Qing Ming’,” katanya.

Ahli keluarga yang datang semasa upacara itu juga dinasihatkan untuk datang secara berperingkat bagi mengelakkan kesesaksan di kawasan tersebut.

“Qing Ming” merupakan hari untuk memuja nenek moyang dan jatuh pada 4 April bagi tahun ini.

Berdasarkan catatan sejarah, adat resam pemujaan nenek moyang oleh orang Cina pada hari Qing Ming sudah mempunyai sejarah selama lebih 2,500 tahun. — DayakDaily