Lee berpuas hati dengan pemberian vaksin Covid-19 Fasa 2 di PPV Hospital Miri, 854 dos diperuntukkan

Lee (kiri) bersama Dr Wong (kanan) melawat PPV Hospital Miri.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 24 April : Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Miri bermula hari ini adalah dikhususkan kepada warga emas; individu yang mempunyai comorbid seperti darah tinggi, kencing manis dan sebagainya selain golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Untuk hari pertama, sebanyak 216 dos vaksin Covid-19 akan diberikan kepada golongan tersebut di PPV Hospital Miri.


Terdahulu, 3,510 dos vaksin Covid-19 telah diterima bagi Fasa kedua untuk Bahagian Miri dan sebanyak 854 dos vaksin telah diperuntukkan kepada penerima vaksin PPV Hospital Miri dan 186 dos vaksin PPV Hospital Marudi, ujar Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin yang juga menteri bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri.

Lee ditemui selepas mengadakam lawatan ke PPV Hospital Miri.

“Saya berpuas hati dengan segala proses pemberian vaksin Covid-19 yang dilaksanakan di PPV Hospital Miri. Proses pemberian vaksin Covid-19 pada hari pertama bagi Fasa 2 yang dikhususkan kepada warga emas, individu yang mempunyai comorbid selain golongan OKU ini berjalan dengan licin, teratur dan cekap”, katanya.

Semasa lawatan itu, Lee turut meninjau ruang pendaftaran dan beliau telah meminta JPBB Miri menambah tiga unit kanopi yang dilengkapkan dengan kipas bagi memberikan kemudahan dan keselesaan kepada penerima vaksin yang menunggu.

Tiga unit kanopi telah siap dipasang seperti diminta Lee.

“Kerajaan Sarawak mensasarkan 80 peratus rakyat Sarawak akan mendapat imunisasi Covid-19. Oleh itu segeralah mendaftar melalui MySejahtera atau melalui empat saluran yang digariskan JPBB Miri sebelum ini,” jelasnya.

Lee turut mengingatkan orang ramai agar mendaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 melalui dua kaedah secara dalam talian iaitu pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera atau laman web khas di www.vaksincovid.gov.my.

Manakala, bagi yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera atau tidak mempunyai akses kepada kemudahan internet adalah diminta untuk mengemukakan permohonan vaksinasi Covid-19 melalui empat saluran berikut – melalui Pejabat-pejabat Daerah; melalui Ketua Kaum iaitu Ketua Kampung, Kapitan dan Tuai Rumah yang akan dibantu oleh JKKK masing-masing; melalui Jawatankuasa Penduduk (RC) (Majlis Bandaraya Miri, Majlis Daerah Subis, Majlis Daerah Marudi); atau mendaftar di Klinik Kesihatan yang berdekatan (bagi kawasan pedalaman sahaja) pada waktu pejabat, Isnin hingga Jumaat.

Segala temujanji vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Eastwood, Hospital Miri dan Hospital Marudi adalah melalui aplikasi Mysejahtera sahaja.

JPBB Miri mengingatkan orang ramai untuk terus kekal waspada dan sentiasa mematuhi aspek Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan Covid-19 secara ketat.

Rombongan lawatan JPBB Miri turut disertai Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pemangku Residen Bahagian Miri yang juga merupakan Pengerusi JPBB Miri dan Dr P Raviwharmman, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri itu telah disambut oleh Dr Jack Wong, Pengarah Hospital Miri. — DayakDaily