Lebih 7,000 anggota polis bertugas untuk hari mengundi

Gilberd melakukan pelepasan anggota yang bertugas.
Advertisement

KUCHING, 16 Dis: Seramai 1,485 orang petugas bantuan terdiri daripada pegawai dan anggota polis dilepaskan bagi penugasan sempena Pilihanraya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12).

Upacara ‘flag-off’ kesemua anggota terbabit telah dijalankan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dengan disempurnakan oleh Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sarawak, SAC Gilberd Philip Layang.

Gilberd dalam ucapannya menasihatkan anggota polis yang terlibat bantuan sumber manusia tersebut agar sentiasa patuhi arahan serta sentiasa pamerkan disiplin yang tinggi ketika bertugas.

Advertisement

“Disamping menitikberatkan aspek keselamatan kendiri lebih-lebih lagi Pilihanraya Negeri Sarawak kali ini diadakan dalam norma baharu, petugas juga diingatkan untuk sentiasa peka terhadap sebarang kemungkinan yang berlaku dalam keadaan sekeliling,” katanya.

Jelasnya seramai kira-kira 7,000 anggota yang akan bertugas pada hari mengundi 18 Disember ini.

“Anggota yang terlibat untuk bantuan sumber manusia ini adalah dari Pasukan Gerakan Am Briged Sarawak, PULAPOL dan Pasukan Polis Marin Wilayah 5,” katanya.

Turut hadir dalam upacara tersebut ialah Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Sarawak, Supt Ismail Mahmood, Supt Pentadbiran IPK Sarawak, Supt James Jonathan, dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Supt Wong Leong Meng. — DayakDaily

Advertisement