Lebih 1,500 lokasi nikmati projek iM Sarawak

Hasbi Habibollah (file pic)

LIMBANG, Dis 23: Penduduk di lebih 1,500 lokasi di Sarawak sudah menikmati pelbagai projek yang dilaksanakan oleh iM Sarawak iaitu inisiatif pembangunan sosial diketuai oleh Majlis Penasihat 1Malaysia Sarawak (1MSAC) sejak penubuhannya empat tahun lalu.

1MSAC ditubuhkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memberikan khidmat nasihat tentang keperluan rakyat Sarawak.

Ahli Lembaga Penasihat iM Sarawak, Hasbi Habibollah berkata, sejak penubuhannya pada 2013, pertubuhan itu sentiasa aktif menjalankan projek komuniti yang membawa manfaat mapan kepada rakyat negeri ini.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Limbang berkata, terbaru, iM Sarawak memperkenalkan projek sistem pemadam api terapung kepada enam kampung di sepanjang Sungai Limbang di sini.

“Kemudahan sistem pemadam api terapung melibatkan enam perkampungan tebing sungai di Limbang ini mampu menangani kes kebakaran di lokasi yang sukar dihubungi.

“Kemudahan ini memberi manfaat kepada lebih 2,000 penduduk tebing Sungai Limbang sementara menunggu ketibaan bomba apabila berlakunya kebakaran,” katanya berucap pada Majlis Penyerahan Sistem Pemadam Api Kampung Pengkalan Rejab di sini baru-baru ini.

Hasbi Habibollah (dua dari kiri) menyerahkan sistem pemadam api terapung kepada Ketua Kampung Pengkalan Rejab, Drahman Bakar (dua dari kanan) disaksikan Edmund D. Mahai Amboh (kiri) dan Hamidah Halpi pada Majlis Penyerahan Sistem Pemadam Api Kampung Pengkalan Rejab di Limbang.

Selain Kampung Pengkalan Rejab, lima lagi kampung terlibat dalam pengagihan sistem itu ialah Kampung Merajang, Merambut, Tanjung Unggar, Buang Abai dan Kuala Berawan.

Sistem pemadam api terapung itu mampu menyedut air dari sungai bagi memastikan bekalan air berterusan untuk memadam api.

Sistem seberat 45 kilogram itu mengepam 70 gelen air seminit dengan jarak jet air sejauh 26 meter dan mampu mengurangkan api daripada merebak sekiranya berlaku kebakaran.

Mengulas lanjut, Hasbi berkata, sejak empat tahun lalu, iM Sarawak berjaya melaksanakan projek dan menyediakan kemudahan infrastruktur di sekolah-sekolah seperti bekalan air, mikrohidro dan sistem pemadam api, di samping memperkenalkan program belia dan sukan kepada kawasan pedalaman yang memerlukan. — DayakDaily