Dua lori bertembung, puluhan bangkai ayam bertaburan atas jalan

Bangkai ayam bertaburan atas jalan raya.

KOTA SAMARAHAN, Dis 23: Malang menimpa tujuh individu apabila dua kenderaan berasingan yang dinaiki mereka bertembung di Jalan Kampung Merdang Lumut, di sini awal pagi ini.

Kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu membabitkan sebuah lori membawa muatan ayam dan sebuah lori jenis tiga tan.

Tidak cukup dengan itu, puluhan ekor ayam yang diletakkan dalam reban khas mati bertaburan di atas jalan raya akibat kemalangan itu.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada 5.37 pagi.

Katanya, sejurus menerima laporan insiden itu, enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan bergegas ke lokasi kemalangan untuk melakukan tindakan lanjut.

Keadaan lori selepas kemalangan.

“Sebuah jentera masing-masing dari BBP Tabuan Jaya dan BBP Batu Lintang bersama 10 anggota bomba turut dikerahkan ke lokasi kejadian sebagai bantuan.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba bahagian depan kedua kenderaan terbabit remuk teruk dan mendapati seorang pemandu lori ayam itu masih tersepit di tempat duduk pemandu.

“Manakala, enam individu yang menaiki sebuah lagi lori berjaya keluar dari kenderaan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tiong memberitahu, pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas.

Jelasnya, sejurus berjaya mengeluarkan mangsa, pemandu lori tersebut kemudian dibawa ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut.

“Kejadian itu turut mengakibatkan kesesakan jalan raya, namun keadaan kembali terkawal selepas kenderaan terbabit dialihkan.

“Operasi tamat sepenuhnya selepas kesemua mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. — DayakDaily