Seorang wanita rentung, lebih 100 penghuni hilang tempat tinggal akibat kebakaran

Keadaan api yang sedang marak membakar sebuah rumah panjang.
Advertisement

Oleh Dean Adam

SRI AMAN, Dis 12: Lebih 100 penghuni rumah panjang di Nanga Entulang dekat sini tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu juga mengakibatkan seorang wanita warga emas berusia 60 tahun ditemui mati rentung.

Advertisement

Wanita malang tersebut ditemui rentung di bawah timbunan kebakaran di bilik rumah panjang mangsa sendiri.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya hanya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan pada pukul 11 pagi.

Jelas beliau, sepasukan sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

Keadaan api yang sedang marak membakar sebuah rumah panjang.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar rumah panjang tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua penghuni berjaya keluar menyelamatkan diri, namun ada dalam kalangan mereka tidak sempat mengambil pelbagai barangan dan dokumen penting,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, siasatan awal mendapati kebakaran tersebut melibatkan 30 pintu rumah panjang jenis tidak kekal.

Anggota bomba sedang berusaha memadam kebakaran sebuah rumah panjang.

Katanya, api marak dengan cepat disebabkan struktur rumah panjang tersebut diperbuat daripada kayu serta bahan mudah terbakar.

“Tindakan operasi memadam kebakaran adalah dengan menggunakan sumber air terbuka dari air parit berdekatan.

“Buat masa ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement