KUCHING, Ogos 13: Lebih 10 penghuni yang menetap di Flat Taman Sri Malihah 2 di sini hilang tempat tinggal dalam sekelip mata selepas kediaman mereka musnah terbakar petang tadi.
Kejadian kira-kira 2.48 petang itu mengakibatkan dua buah rumah teres dua tingkat struktur kekal terbakar 100 peratus.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.50 petang.
Katanya, sejurus menerima maklumat berhubung kebakaran tersebut, sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya telah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.
“Sepasukan 13 anggota bomba dari BBP Batu Lintang dan BBP Padungan turut diarahkan ke lokasi kejadian untuk membantu operasi tersebut.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar tingkat dua rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jurucakap sama menambah, rumah bersebelahan kiri dan kanan terjejas sebanyak 30 peratus akibat daripada bahangan haba, anggaran keluasan untuk setiap pintu adalah 20kaki X 30kaki.
Katanya, tindakan pantas pasukan bomba membuat ‘fire break’ telah berjaya menyelamatkan beberapa buah pintu daripada terbakar.
“Siasatan awal mendapati kebakaran itu tidak melibatkan kemalangan jiwa dan kecederaan.
“Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 4.05 petang. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam proses siasatan,” katanya.
Turut berada di lokasi kejadian ialah Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Nor Hisham Mohammad.
Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman juga berasa di lokasi kejadian bagi membantu mangsa yang terjejas. — DayakDaily