MBKS disarankan menganjurkan Kuching’s Got Talent secara besaran

Snowdan (berdiri tiga dari kanan) menyampaikan hadiah dan piala kepada kumpulan Heart To Heart yang menjadi juara kategori tarian di pertandingan Kuching's Got Talent Finale 2018 anjuran MBKS.

KUCHING, Ogos 13: Kerajaan negeri menyarankan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menganjurkan lagi acara Kuching’s Got Talent secara besaran bagi membantu mencari lebih ramai warga bandaraya ini yang berbakat membuat persembahan pentas.

Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata demikian berikutan acara itu sentiasa mendapat penyertaan mengalakkan dari warga bandaraya ini terutama golongan muda, dan mencadangkan penyertaannya bukan sahaja dibuka kepada mereka yang berbakat menyanyi dan menari malahan mempersembahkan bakat lain seperti silap mata atau seni mempertahankan diri.

“Ini kerana terdapat banyak jenis bakat persembahan pentas. Kalau kamu menyaksikan acara Britain’s Got Talent, mereka juga ada persembahan bakat silap mata malahan adakalanya membabitkan aksi merbahaya dan seni mempertahankan diri seperti ‘kung fu’,” katanya ketika mewakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bagi merasmikan acara Kuching’s Got Talent Finale 2018 anjuran MBKS di Panggung MBKS, Jalan Padungan, di sini, semalam.


Snowdan berkata pihaknya percaya negeri ini ada ramai golongan muda berbakat yang boleh mewakili negara ini ke acara pencarian bakat peringkat antarabangsa dan mereka hanya berpeluang mula dikenalpasti melalui acara itu di peringkat bandaraya ini.

“Melalui acara pencarian bakat juga kita telah dapat mengenalpasti ramai anak Sarawak yang kemudian menjadi penyanyi yang baik dan popular di negara ini seperti Hafiz, Bob AF dan Dayang Nurfaizah,” katanya.

Disamping itu, beliau mengumumkan Awang Tengah bersetuju menyumbangkan sebanyak RM20,000 kepada MBKS bagi membantunya menganjurkan Kuching’s Got Talent Finale 2018 yang telah menarik penyertaan seramai 100 peserta.

Sementara itu, terdapat empat kategori pertandingan Kuching’s Got Talent Finale 2018 dengan kategori nyanyian 13 tahun keatas dijuarai Adelynna Yang Tze Wee yang mengalahkan empat peserta akhir lain manakala tempat kedua ialah
Brian Chong Wei Jing dan tempat ketiga, Daniel Foon Kai Ern.

Kategori menyanyi 12 tahun ke bawah pula dijuarai Nicole Kung Tze Wee, Nikki Kung Tze Ying, Nivell Kung Tze Mang dan Nichelle Kung Tze Xuan yang mengalah empat peserta akhir lain dengan tempat kedua, Nur’syahmina Zulaikha dan tempat ketiga, Joanne Wong Tze Ling.

Kategori menari pula menyaksikan sebanyak lima kumpulan memasuki pusingan akhir dan dijuarai kumpulan Heart To Heart yang dianggotai Liew San Kheng, Rudi Began Ahras dan Liew San Cing manakala tempat kedua, kumpulan District 1 Boogie (Dylan Harry Anding, Keo dan Brendan Phang Wai Yang) serta tempat ketiga, kumpulan ODAAK Diva Girls (Ashley Jane Kueh Zhen Ying, Crystal Noleppa Chai Jin Jun, Isabella Lau Qi Qi, Mabel Lee Zi Xin dan Megan Abigail Lee Zi Ling).

Kategori bakat lain pula dimenangi kumpulan The Unbeatable Pi Li Pa La Percussion dengan tempat kedua, Sim Jia Bui dan tempat ketiga, Eric Yeoh Zhen Huong. — DayakDaily