Latihan kemahiran dikembangkan di PUSPEN Kuching

Abang Khalid (empat dari kiri) menyerahkan sumbangan cek sebanyak RM15,000 kepada Christopher. Turut kelihatan Sharifah Hasidah (enam dari kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Jun 26: Tanaman cili dan tembikai wangi mengikut kaedah fertigasi diperkenalkan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Kuching.

Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata tanaman tersebut merupakan sebahagian daripada program pemulihan di PUSPEN Kuching.

“Program di PUSPEN begitu baik sekali dan bertujuan untuk memberi latihan kemahiran kepada pelatih-pelatih di sini.

“Ianya sudah tentu akan mempersiapkan para pelatih di sini sekembali mereka ke pangkuan masyarakat satu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Ngabang Gawai Raya PUSPEN Kuching 2019 di sini hari ini.

Selain tanaman fertigasi cili dan tembikai wangi, Sharifah Hasidah yang pernah berada di Lembaga Pelawat PUSPEN Kuching mencadangkan program ternakan madu kelulut dan nenas juga diperkenalkan.

Sharifah Hasidah (kiri) menyempurnakan ‘ngiling bidai’ sambil disaksikan Abang Khalid (berdiri dua dari kiri).

Justeru, beliau menggesa masyarakat agar memberi sokongan dan menerima para pelatih PUSPEN dengan baik.

“Ini adalah pusat latihan dan bukan penjara. Anak-anak kita ini bukan penjenayah dan mereka boleh diberi latihan kemahiran untuk masa depan mereka.

“Mereka tersilap langkah sedikit dan stigma ini mesti dibuang ke tepi,” katanya lagi.

Pada majlis tersebut Pengerusi Lembaga Pelawat PUSPEN Kuching Tan Sri Dato Sri Abang Khalid Abang Marzuki turut menyerahkan sumbangan cek sebanyak RM15,000 kepada pusat tersebut.
Pengarah PUSPEN Kuching Christopher Billy menerima sumbangan tersebut disaksikan Sharifah Hasidah.

Turut hadir bersama 172 pelatih adalah Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Sarawak Wan Madihi Wan Salleh. — DayakDaily