Lans Koperal antara dua ditahan disyaki terlibat penyalahgunaan dadah

Kelihatan kedua-dua suspek yang ditahan oleh anggota JSJ Miri.

By Brad Rantayy

MIRI, 16 Dis: Seorang anggota pasukan beruniform berpangkat Lans Koperal di sini antara dua ditahan disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah dalam satu serbuan pada pagi Isnin (Dis 14).

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Supt Mohd Sabri Zainol, lelaki berusia 27 tahun itu ditahan sekitar jam 11.05 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ).


“Suspek ditahan bersama seorang kenalannya berusia 23 tahun di dalam sebuah kondominium di Jalan Tanjong Lobang,” ujar Sabri.

Turut dirampas, dadah disyaki syabu dengan berat 3.11gram.

Difahamkan suspek mendapat bekalan dadah menerusi aplikasi WeChat.

“Suspek turut mengaku terlibat dalam kegiatan dadah sudah empat tahun,” jelas Sabri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily