Medac: 99.3 peratus peruntukan program pembangunan 2020 telah disalurkan

Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUCHING, 16 Dis: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) sehingga 7 Disember 2020 telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM317.62 juta.

Menurut menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, jumlah itu adalah bersamaan 99.3 peratus daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM319.76 juta yang telah diperuntukkan di bawah Belanjawan 2020.

“Pencapaian ini adalah amat membanggakan kerana ia mencerminkan komitment Medac serta agensinya dalam membantu kumpulan usahawan di negara ini,” jelas beliau selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK).


Tambah Wan Junadi, perkara utama yang ditekankan adalah untuk menangani isu berhubung karenah birokrasi yang menjadi batu penghalang untuk kemudahan-kemudahan dan pembiayaan disalurkan dengan efisien.

“Dari awal lagi saya telah tekankan untuk memudahkan proses-proses yang ada supaya lebih mudah untuk kami salurkan bantuan kepada golongan usahawan–usahawan di seluruh negara,” ujar beliau.

Dalam pada itu, tambah beliau, Medac akan terus mengambil tindakan–tindakan sewajarnya dalam mengenalpasti beberapa halangan dan penambahbaikan dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatan penyampaian agensi dalam usaha membantu rakyat.

Beliau turut menyeru agar Medac serta agensi supaya sentiasa membuat penambahbaikan terhadap proses permohonan supaya para usahawan lebih mudah untuk mendapatkan sebarang bentuk dana atau pembiayaan yang ditawarkan. — DayakDaily