KUCHING, 9 Jan: Bersesuaian dengan durian sebagai mercu tanda, kini Bandar Serian dipenuhi dengan lambakan buah tersebut.
Penggemar durian dari seluruh Negeri menumpukan perhatian kepada daerah tersebut untuk menikmati durian Serian yang dikatakan setanding musang king di Semenanjung Malaysia.
Bagi penduduk Serian khususnya mereka yang memiliki kebun durian sendiri, inilah peluang untuk menjana pendapatan sampingan.
Seorang peraih dari Kampung Pichin, Valerian Majeng berkata, sejak sebulan lepas beliau meraih lebih 1,000 biji durian setiap hari dari pekebun kecil durian.
Katanya, durian tersebut pada mulanya agak mahal tetapi kini ia semakin murah berikutan lebihan bekalan.
“Ada durian di beberapa kampung di sekitar Serian tidak dijual kerana terdapat lebihan bekalan pada masa sekarang.
“Di peringkat peraih, kita membeli dalam lingkungan harga RM1 hingga RM3 sebiji mengikut saiz sekarang,” katanya.
Tambah beliau, durian Serian juga turut diborong oleh peniaga-peniaga luar untuk dipasarkan di Sibu, Bintulu dan Miri.
Bagi penggemar di Kuching, Valerian berkata durian dari Kampung Pichin dijual di Batu 6 di Matang.
Ia juga dijual di beberapa lokasi di sepanjang jalan Serian ke Kuching selain di beberapa kawasan di sekitar Bandaraya Kuching. — DayakDaily