Oleh Dean Adam
MIRI, Dis 19: Lagi kes suri rumah terpedaya dengan kenalan lelaki kononnya dari England yang dikenali menerusi laman sosial Facebook (FB).
Kes terbaharu itu membabitkan seorang wanita berusia 41 tahun yang mengalami kerugian sebanyak RM5,300 akibat ditipu sindiket ‘parcel scam’.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, pada Disember 16 lalu, mangsa dikatakan telah berkenalan dengan seorang lelaki bernama Calvin Lee kononnya dari England.
Jelas beliau, lelaki berkenaan kemudian memberitahu ingin berkenalan dengan mangsa, malah mahu menjalinkan persahabatan lebih rapat dengan wanita berkenaan.
“Tidak lama selepas itu, mangsa ada menerima mesej dari nombor 016-6322453 dan memaklumkan ada bungkusan barang telah dihantar kepadanya.
“Seterusnya pada Disember 17 lepas mangsa sekali lagi menerima mesej yang mengatakan ada bungkusan barangan berharga RM80,000 yang dikirim dari England,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mustafa menambah, suspek kemudian meminta mangsa membayar wang sebanyak RM5,300 untuk kos ejen penghantaran.
Pada hari yang sama kata Mustafa, mangsa telah memasukkan wang sebanyak RM5,300 ke dalam akaun bank yang diberikan suspek.
“Malah, pada Disember 18, mangsa sekali lagi menerima mesej meminta dia membayar wang sebanyak RM26,500 untuk mendapatkan bungkusan barangan itu.
“Mangsa yang merasakan telah ditipu tidak membuat pembayaran lagi sebelum membuat laporan polis,” katanya. — DayakDaily